Medan Niaga UUM
Kemahiran dan Gelagat Usahawan
Friday, 8 November 2013
Rahsia Kejayaan Usaha Berjaya
Malam ni saya ingin kongsikan sedikit sebanyak rahsia mengenai kejayaan seorang usahawan yang berjaya. Antaranya adalah :
• Bergaul dengan segenap lapisan masyarakat. Dari celah-celah lumpur itu mungkin ada permata berharga.
• Sediakan strategi dan perancangan dalam perniagaan anda.
• Buat perancangan anda dan mestilah komited dengan perancangan yang dibuat.
• Jangan abaikan pelanggan. Setiap permohonan bantuan daripada mereka walaupun siapa perlulah dipenuhi.
• Anggap perniagaan ini sebagai peperangan. Anda tidak boleh tewas/gagal. Jika tewas/gagal, berakhirlah riwayat hidup anda. Dengan ini anda akan bermati-matian mempertahankan perniagaan yang ada.
• Luangkan sedikit masa anda untuk memikirkan idea kreatif yang dapat menjayakan perniagaan anda.
• Sentiasalah merendah diri walaupun anda telah berjaya. Sikap ini akan menyebabkan sesiapa pun tidak berasa rendah diri apabila bergaul dengan anda.
• Sentiasa berkata kepada diri sendiri : Aku berniaga kerana mengejar kepuasan, bukannya wang. Jika anda puas, wang akan datang bergolek.
• Mesti sanggup menentang arus. Orang tak buat cara ini, anda buat. Jika orang lain tidak buat, anda buat, anda akan berjaya.
• Mesti sanggup belajar dan diajar oleh sesiapa sahaja meskipun daripada orang bawahan anda sendiri.
• Walaupun anda sudah berjaya, anggapkan sahaja anda belum berjaya. Dengan ini, anda akan sentiasa berusaha.
• Sentiasa turun ke bawah. Jangan hanya melihat dari atas walaupun anda telah berjaya.
• Beri motivasi kepada diri sendiri. Berikan hadiah kepada diri anda sendiri apabila anda berjaya melakukan sesuatu. Hadiah itu mungkin berupa tidur seketika untuk merehatkan otak kita.
• Sekali anda melakukan perniagaan ini, anda mesti melakukannya setiap hari. Jangan dibiarkan ada hari anda tidak melakukannya kerana dikhuatiri semangat anda akan luntur.
• Jangan berprasangka buruk kepada orang lain. Yang zahir tidak semestinya mencerminkan yang batin.
• Cakap mesti serupa bikin.
• Sentiasa riang kerana keriangan akan meredakan ketegangan.
• Anggapkan bahawa melakukan perniagaan sebagai ibadah.
• Jangan anggap perniagaan ini sebagai cuba-cuba atau main-main sahaja. Anggapkan perniagaan ini sebagai penentu hidup dan mati anda.
• Berikan kail kepada yang memerlukannya, jangan berikan ikan. Biasanya, apabila anda sudah berjaya, banyaklah orang yang mendekati anda semata-mata kerana wang. Jangan berikan wang kepada mereka, berilah peluang kepada mereka.
• Sentiasa mencari ilmu/pengetahuan baru terutamanya yang berkaitan dengan perniagaan jualan langsung sama ada daripada pergaulan, bahan bacaan, atau daripada teknologi maklumat.
Sumber:
10 Faktor Perniagaan Gagal
Di sini saya senaraikan sepuluh faktor yang menjadi punca kegagalan seseorang usahawan baru dalam perniagaan.
1. Tidak mempunyai pengalaman dan kelayakan
Tidak mustahil bagi seseorang usahawan yang tidak mempunyai sebarang pengalaman , atau kelayakan akademik dalam bidang berkaitan berjaya dalam perniagaan yang diceburi. Namun tidak mustahil juga untuk usahawan yang tiada sebarang pengalaman, atau ilmu mengalami kerugian dalm perniagaan. Terdapat banyak kursus atau seminar yang ditawarkan kepada usahawan untuk mendapatkan ilmu perniagaan, selain dari institut-institut pengajian atau kolej yang menawarkan pendidikan secara formal.
2. Tidak mempunyai skil dalam pengurusan
Kesilapan yang dilakukan ramai usahawan ketika ini ialah, mereka hanya tahu menguruskan belanjawan syarikat untuk mendapatkan stok atau produk. Tetapi tidak mampu untuk menguruskan belanja tersebut supaya syarikat mempunyai simpanan dan wang pusingan modal yang mencukupi.
3. Tidak menggunakan bakat secara maksimum
Sesetengah usahawan adalah pakar dalam bidang masing-masing seperti jurureka dalaman (interior designer) atau jurufoto. Sebagai usahawan yang mempunyai bakat dan kepakaran tertentu, anda harus menggunakan segala bakat tersebut secara maksimum. Ini bertujuan memastikan perniagaan yang anda jalankan mempunyai sentuhan anda sendiri, yang tentunya akan dicari oleh para pelanggan anda. Bakat yang ada tidak harus disia-siakan.
4. Tidak bersedia bekerja lebih masa
Menjalankan perniagaan sendiri bukanlah seperti bekerja di pejabat dari pukul 8 pagi sehingga pukul 5 petang. Menjalankan perniagaan bermakna anda harus bekerja hampir 24 jam sehari (atau mungkin lebih).
5. Tidak mendapat sokongan keluarga
Kebanyakan perniagaan yang berjaya mendapat sokongan dari keluarga. Dari segi kehidupan seorang Muslim, amat penting anda mendapatkan restu dari ibubapa sebelum memulakan sebarang perniagaan. Maklumkan mereka kenapa dan mengapa anda menjalankan perniagaan.
6. Tidak mempunyai modal permulaan yang mencukupi
Modal permulaan bukanlah bermakna modal yang anda perlu ada, hanya untuk memulakan perniagaan semata-mata. Ia bermakna modal yang anda akan gunakan sekurang-kurangnya, sehingga anda mendapat kembali sepenuhnya modal tersebut. Modal yang paling baik adalah modal yang dapat digunakan untuk menampung perniagaan anda, untuk sekurang-kurangnya setahun dari hari ia mula beroperasi. Namun, ia berbeza-beza mengikut jenis bidang perniagaan anda.
7. Tiada networking
Dalam apa sahaja perniagaan yang diceburi, networking ialah perkara yang tidak boleh dipandang remeh. Anda cuba bayangkan sekiranya anda langsung tiada atau tidak mahu menjalinkan sebarang hubungan (networking) dengan orang lain. Mungkin ada dikalangan jaringan hubungan anda akan menjadi pelanggan utama anda. Apa yang akan anda kehilangan? Dalam Islam juga mengajak umatnya menjalinkan silaturrahim sesama manusia. Hanya melalui cara ini anda dapat mengembangkan perniagaan dengan baik, dan secara halus tanpa memaksa seseorang mendapatkan produk anda.
8. Tidak berusaha keras
Satu kerugian yang amat sangat sekiranya anda menjalankan perniagaan, tetapi anda tidak sanggup bekerja keras untuk perniagaan tersebut. Sebagai usahawan, anda seharusnya seorang yang berdisiplin dan bermotivasi tinggi supaya anda mencapai matlamat yang telah ditetapkan.
9. Tidak sanggup berhadapan krisis
Banyak dugaan yang perlu dihadapi oleh usahawan ketika menjalankan perniagaan. Dugaan ketika berhadapan dengan pesaing, ketika mengalami kejatuhan keuntungan dan pelbagai lagi yang mungkin anda hadapi. Anda perlu bijak menangani sebarang krisis yang timbul dalam menjalankan perniagaan.

10. Terlalu fokus pada produk
Ramai usahawan sebegini. Terlalu memfokuskan pada penghasilan dan jualan produk dan meminggirkan perkara penting yang perlu difokuskan.
Sumber:
http://www.majalahniaga.com/10-faktor-perniagaan-gagal.html
Sumber:
http://www.majalahniaga.com/10-faktor-perniagaan-gagal.html
4 CABARAN KEUSAHAWANAN PENGHALANG KEJAYAAN ANDA
Cabaran 1: Mendapat Tentangan Keluarga
Ramai yang hanya mendiam diri apabila ada dikalangan ahli keluarga yang memulakan perniagaan. Lebih buruk lagi apabila ada dikalangan ahli keluarga yang memberikan reaksi negatif berkenaan dengan perniagaan yang mahu diceburi.
Kuatkan hati, akal dan minda untuk terus mengatasi masalah ini. Ingatlah bahawa suatu hari nanti mereka pasti akan mula mengubah persepsi mereka setelah melihat kejayaan kita.
Cabaran 2: Tidak Mempunyai Aliran Tunai Konsisten
Punca utama sesuatu perniagaan gulung tikar dalam tempoh kurang tiga tahun adalah tidak mempunyai aliran tunai yang konsisten dan pengurusan kewangan yang mantap.
Jalan penyelesaian untuk masalah ini, usahawan amat digalakkan mempelajari bagaimana mengurus kewangan dengan lebih sistematik dan berkesan. Terdapat banyak agensi kerajaan yang menganjurkan bengkel dan seminar pengurusan kewangan yang boleh dirujuk.
Cabaran 3: Masa Antara Keluarga & Bisnes
Kejayaan bererti pengorbanan dan sekiranya seseorang usahawan tidak sanggup berkorban masa dan tenaga untuk perniagaan, kejayaan tidak akan berani menghampiri anda.
Memang benar keluarga itu adalah yang pertama, tetapi anda harus menerangkan kepada mereka situasi anda sekarang ini supaya mereka faham dan tidak banyak mengambil masa anda agar anda boleh kekal fokus menguruskan perniagaan anda.
Cabaran 4: Kurangnya Ilmu & Strategi Bisnes
Ilmu bukan sahaja dituntut semata-mata untuk anda menjawab soalan peperiksaaan sahaja. Ilmu perlu dicari supaya anda cukup bersedia menghadapi apa sahaja ‘persoalan’ yang muncul dalam perniagaan anda.
Sentiasalah belajar dari semasa ke semasa berkenaan dengan ilmu-ilmu perniagaan yang baru agar perniagaan anda boleh kekal konsisten dan lebih berjaya pada masa depan.
Usahawan yang berjaya mendaki gunung kejayaan adalah mereka yang bertekad mahu mencapai kejayaan. Manakala usahawan yang hanya menunggu dan lihat serta memilih jalan selesa akan sentiasa berada ditakuk lama dan menjauhi kejayaan.
Dengan menguasai 4 cabaran di atas, anda pasti akan berjaya dalam apa jua perniagaan yang anda ceburi. Ingatlah bahawa andalah penentu kepada masa depan perniagaan anda dan cuma anda sahajalah yang mampu mengubah hidup anda.
Sumber:
http://www.majalahniaga.com/4-cabaran-keusahawanan-terhebat-penghalang-kejayaan-anda.html
Sumber:
http://www.majalahniaga.com/4-cabaran-keusahawanan-terhebat-penghalang-kejayaan-anda.html
Subscribe to:
Comments (Atom)